Klik untuk berkunjung

Klik untuk berkunjung
Sebuah karya e-novel interaktif

Friday, August 14, 2009

Tips agar mata anda kelihatan sihat dan jelita

Mata yang jelita dan menawan adalah idaman setiap wanita, namun di dalam kesibukan kita hari ini dengan menjalani tugas-tugas seharian, kita sering mengabaikan penjagaan mata kita. Kita sering menggunakan pelbagai jenis produk untuk mengembalikan kesegaran dan menyerlahkan keayuan mata kita walaupun tidak semuanya boleh mencapai matlamat yang kita inginkan, atau terdapat cara yang lebih mudah dan menjimatkan untuk mencapai matlamat tersebut.

Kali ini kita akan membongkar rahsia untuk mata kita kelihatan jelita dan segar melalui pelbagai teknik termasuk penjagaan semulajadi, senaman mata dan teknik penggunaan make-up untuk mata

Selebriti yang memiliki mata yang menarik - Angelina Jolie dan Aishwarya Rai

Tips penjagaan mata agar kelihatan segar dan bermaya

1. Kebersihan
Kecantikan mata bermula dengan penjagaan kesihatan yang betul. Pastikan mata anda kekal bersih dengan membasuh dengan air, terutamanya selepas menggosok dengan tangan kerana bakteria atau kuman pada tangan anda mungkin boleh mengakibatkan jangkitan penyakit pada mata anda

2. Alkohol dan merokokAlkohol (pada arak dan minuman keras) dan rokok boleh memberi kesan negatif kepada mata anda, oleh itu jauhi daripada tabiat buruk yang boleh merosakkan mata anda. Alkohol mengganggu peredaran darah dan memberikan kesan buruk kepada kapilari mata yang halus menyebabkan mata kelihatan merah. Merokok menyebabkan tubuh anda kekurangan oksigen dan kekurangan oksigen dalam darah akan mempengaruhi retina mata dan mengakibatkan kerosakan pada saraf mata. Ini juga disebabkan oleh pengurangan vitamin B12 dalam tubuh anda akibat merokok. Satu lagi kesan daripada tabiat merokok adalah penuaan sebelum masa (premature aging) yang mengakibatkan kedutan dan garis-garis halus kelihatan pada mata anda.

3. Kekeringan dan radiasi
Kekeringan mata boleh diakibatkan oleh pendedahan kepada panas matahari yang terik dan aktiviti-aktiviti yang menyebabkan stres kepada mata anda. Lindungi mata anda daripada cahaya matahari. Kacamata gelap sahaja tidak mencukupi kerana anda perlukan kacamata gelap yang memberi perlindungan daripada pancaran ultra ungu (ultraviolet / UV ray). Sekiranya anda menggunakan komputer, berikan masa rehat untuk mata anda setelah tempoh tertentu bagi mengelakkan stres kepada mata anda dan kelihatan letih. Gunakan penitik mata untuk mengembalikan kelembapan dan kesegaran mata anda (tetapi jangan gunakan secara berlebihan).

4. Bersihkan make-up sebelum tidur.Meskipun make-up adalah penting bagi wanita zaman ini, namun ia mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan mata (dan kulit) jika dibiarkan terlalu lama pada muka anda. Pastikan anda membersihkannya sebelum tidur

5. Kanta lekap (contact lense)Sama ada untuk kecantikan atau kemudahan, kanta lekap telah menjadi trend masakini, namun penggunaannya masih terbatas kepada masa-masa yang terhad sahaja. Sentuhan kanta lekap pada mata anda menyebabkan penjagaan yang rapi bagi mengelakkan jangkitan kuman kepada selaput mata anda. Pastikan tangan dan kanta lekap benar-benar bersih (mengikut arahan yang diberi) semasa mengaplikasi penggunaannya di samping mengelakkan penggunaannya melebihi 12 jam (atau arahan mengikut kanta lekap anda)


6. Pemakanan dan nutrien
Pemakanan yang sempurna dan sihat memastikan zat dan vitamin yang cukup diterima oleh mata anda untuk kelihatan sihat dan bermaya. Antara vitamin dan mineral yang diperlukan oleh mata anda adalah zink, magnesium dan vitamin-vitamin seperti A, C, E dan B yang boleh didapati dari makanan yang bernutrien termasuk sayuran dan buah-buahan, dan makanan rendah lemak. Menurut pakar opthalmologi, lobak merah mengandungi beta karotene yang bagus untuk penglihatan, di samping antioksida di dalam sayuran-sayuran yang lain seperti bayam dan brokoli. Dapatkan nasihat dari doktor atau pakar mata anda untuk memastikan pengambilan pemakanan yang sempurna dan sesuai dalam penjagaan mata anda.


7. Rehat yang cukup
Bagaimana sibuk sekalipun anda dengan kehidupan seharian, pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi (lebih kurang 8 jam). Rehat yang cukup mengembalikan kesegaran tubuh dan mata anda, di samping mengelakkan stres di dalam kehidupan yang boleh mengakibatkan mata kelihatan lebam dan lesu.


8. Masalah bengkak di bahagian bawah mata (eye bag)Meskipun ia bukan satu masalah yang serius, tetapi kehadirannya membuat anda kelihatan berumur, lesu dan kurang bermaya. Antara puncanya adalah kehilangan kolagen pada kulit anda menyebabkan keanjalan yang berkurangan dan selaput bawah mata menjadi kendur dan kelihatan membengkak. Anda boleh mengatasi masalah ini dengan mendapatkan rehat yang cukup, mengekalkan kesegaran mata (seperti menggunakan hirisan timun pada mata anda selama 10 minit sebelum tidur) dan menggunakan krim sapu yang sesuai (mengandungi retinol dan vitamin E) pada bahagian yang bermasalah


9. Berjumpa dengan doktor atau pakar mata anda
Jadikan tabiat untuk membuat pemeriksaan mata anda setiap tahun untuk memeriksa kesihatan mata anda di samping bahagian-bahagian lain pada tubuh anda. Sekiranya anda menggunakan cermin mata, anda boleh menjalani pembedahan lasik untuk membetulkan fokus mata anda. Anda boleh dapatkan nasihat doktor atau pakar mata anda bagi memastikan ianya sesuai untuk anda.
Pembedahan Mata Lasik
(Sumber: Herbalcureindia.com)




Senaman untuk mata

Antara tujuan membuat senaman untuk mata anda adalah:
- memperbaiki koordinasi otot mata bagi mengelakkan kecacatan akibat tekanan stres ke atas mata anda

- merehatkan mata anda selepas aktiviti yang meletihkan otot-otot pada mata anda seperti selepas menggunakan komputer dengan jangkamasa yang panjang

Perhatian:
Adalah perlu untuk merujuk kepada pakar mata anda bagi memastikan kesesuaian senaman ini untuk mata anda terutamanya sekiranya anda mengalami masalah mata atau sekiranya senaman ini memberi kesan seperti rasa sakit kepada anda.



A. Latihan FokusLatihan ini memerlukan anda duduk dengan selesa di atas kerusi dengan tempat bersandar untuk sokongan belakang anda dan sesuai untuk tempat kerja anda juga. Ia dikatakan dapat menambah fokus anda dan tempoh anda dalam keadaan fokus, di samping mengurangkan masalah rabun dekat kepada mata anda.

Selepas 20 minit anda melakukan aktiviti yang menambah stres ke atas mata anda (seperti melihat skrin komputer), lakukan aktiviti berikut:

1. Lemparkan pandangan anda ke tingkap atau ke luar bangunan, kepada objek yang berada 15-20 kaki jauh dengan tempoh 13-20 saat. Ulang sebanyak 2-3 kali sebelum kembali kepada kerja anda.

2. Tegakkan jari atau pegang pen / pensil di hadapan anda dengan meluruskan lengan. Kemudian gerakkan ke arah hidung dengan pergerakan lurus, sambil mata anda tertumpu kepada jari atau pen / pensil tadi (rujuk gambar). Ulangkan sebanyak 5-10 kali setiap latihan dan 2-3 kali setiap hari


3. Pegang pen / pensil rapat dengan mata anda dan fokuskan selama 5 saat. Kemudian fokus pandangan anda kepada objek jauh (10 kaki dari anda) selama 5 saat. Kemudian fokus semula kepada pensil tadi. Ulang sebanyak 5 kali


B. Latihan regangan
Latihan ini bertujuan memperbaiki koordinasi otot-otot mata. Pastikan kepala anda dalam keadaan tidak bergerak (statik) dan pergerakan hanya melibatkan pandangan anda sahaja

1. Tumpukan pandangan kepada kening anda dan gerakkan pandangan anda dalam bentuk bulatan mengikut arah jam. Ulangkan 2-3 kali. Kemudian tukar arah (lawan jam) dan ulangkan 2-3 kali.

2. Tumpukan pandangan anda ke kiri selama 5 saat. Kemudian tukar pandangan ke sebelah kanan selama 5 saat lagi. Ulang dengan pandangan ke atas dan bawah dengan teknik yang sama


C. Latihan merehatkan mata
Tujuan latihan ini adalah untuk merehatkan mata anda selepas penggunaan mata anda yang berterusan. Latihan ini boleh dilakukan semasa anda duduk tegak atau berbaring.

1. Gosok kedua-dua telapak tangan anda sehingga agak hangat. Kemudian tutup mata anda dan tekap telapak tangan anda ke dua-dua belah mata anda dengan menutup sepenuhnya mata anda tanpa menekan (lihat gambar). Biarkan dalam keadaan demikian - iaitu anda tidak melihat apa-apa hanya kegelapan - selama beberapa minit sambil anda bernafas dengan perlahan




2. Tutup mata dan urut perlahan mata anda dengan gerakan pusingan (bulatan)

3. Gunakan penutup mata yang tebal dan tutup mata anda selama 3-5 minit supaya anda tidak dapat melihat sebarang cahaya (gelap pekat) sambil bernafas secara perlahan dengan menarik nafas yang dalam

(Sumber: Steadyhealth.com)


Gunakan make-up yang sesuai untuk mata



Penjagaan secara semulajadi di samping penggunaan alat kosmetik yang bersesuaian dengan mata anda dan keadaan dapat menyerlahkan kecantikan mata anda.

Antara perkara yang perlu anda beri perhatian:

1. Foundation dan concealer
Ratakan ke seluruh muka anda termasuk bahagian mata agar kelihatan sekata dan menutup lebam mata anda (jika ada)

2. Eyeliner
Gunakan sepenuhnya pelbagai jenis yang ada (cecair, pensil dan lain-lain) untuk mendapat efek yang anda ingini. Letakkan pensil eyeliner anda di dalam peti sejuk sekiranya ia terlalu lembut. Gunakan span untuk mendapatkan efek warna tipis

3. EyeshadowPilih warna yang bersesuaian agar warna mata anda akan terserlah.
Pebagai jenis mata memerlukan penggunaan kosmetik yang berlainan untuk mendapatkan hasil yang sesuai. Ini termasuk jenis-jenis mata yang kecil, besar, terkedalam, lebar, bulat dan sepet (asian)

4. Bulu mata dan maskara
Bulu mata yang panjang akan membuat mata anda kelihatan lebih segar dan bermaya. Terdapat pelbagai jenis maskara termasuk kalis-air dan kalis-comot untuk membolehkan penggunaan yang lebih lama dan lebih lasak mengikut keadaan.
(Sumber: Wikihow & Ezine)

Friday, May 22, 2009

Penjagaan kulit agar kekal segar dan bermaya

Kulit adalah bahagian tubuh yang mudah terdedah kepada faktor-faktor seperti perubahan cuaca, panas matahari, pencemaran dan alahan kepada pelbagai bahan kimia. Penjagaannya dengan kerap adalah penting bagi mengelakkan masalah dalam jangka-panjang.


Antara tanda-tanda kulit bermasalah adalah:

1. Kulit berminyak
Kulit seperti ini mudah menghadapi masalh seperti jerawat dan jeragat (blackhead). Kerana liang roma mudah tersumbat .

2. Kulit kering
Kulit seperti ini biasanya disebabkan kekurangan lembapan pada kulit yang mana air dan pelembab tidak dapat menembusi kulit. Mereka yang menghadapi masalah ini perlu menjauhi pencuci yang boleh mengeringkan kulit dan bahan beralkohol seperti pewangi.

3. Alahan (Dermatitis)
Tanda-tandanya adalah kulit yang gatal, merah, kering dan mengelupas. Ianya berpunca dari tindakbalas kulit terhadap bahan kimia dan faktor cuaca.

4. Liang roma yang besar
Meskipun ia bukan satu masalah besar, tetapi wajah anda akan kelihatan kurang elok terutamanya dari jarak dekat

5. Dedahan kepada pancaran matahari
Pancaran ultraviolet (UV) dalam matahari boleh mengakibatkan kerosakan kepada kulit. Tandanya adalah pigmentasi (warna kulit) yang tidak sekata, kedutan yang dalam, kulit yang liat dan pada kes yang teruk membawa kepada barah kulit.



Cara mudah dan ringkas mencegah kerosakan atau masalah pada kulit:

1. Jadikan kebiasaan membersihkan kulit dengan menggunakan sabun dan air bagi mengelakkan minyak, kotoran dan sisa bahan kosmetik daripada melekat pada kulit anda.

2. Bilas dengan air suam dapat membuka liang roma dan mengelakkan ia tersumbat.

3. Tekap muka atau kulit dengan tuala, bukan menggosokkan dengak kasar. Gosok kulit dengan lembut juga dapat membuang sel-sel kulit yang mati dan mengelupas, meyerikan wajah dengan sel-sel kulit yang baru

4. Gunakan barangan penjagaan kulit yang mengandungi pelembab dan bahan antioksida (terdapat dalam produk yang mengandungi vitamin C dan E) yang membantu memperbaiki kerosakan kulit dan melindungi dari kerosakan akibat pencemaran dan pancaran ultraviolet (UV). Jika kerosakan terlalu teruk, anda perlu mendapat nasihat doktor atau pakar kulit.

5. Sebelum tidur, gunakan toner untuk membersihkan kulit, seelok-eloknya yang tidak mengandungi alkohol.

6. Gunakan pelembab semasa kulit masih basah, contohnya 3 minit selepas mandi. Jika anda mengalami musim sejuk, sapukan lebih dari biasa. Pelembab biasa tanpa bahan tambahan seperti pewangi atau bahan kimia sudah mencukupi, di samping dapat mengelakkan anda dari mendapat alahan kulit.

7. Gunakan produk yang boleh mengembalikan kesegaran dan nutrien pada kulit pada waktu malam

8. Dapatkan tidur yang cukup untuk memberi kesegaran tubuh badan dan kulit anda

Wednesday, May 20, 2009

Produk kecantikan yang boleh dihasilkan sendiri

Kelihatan jelita adalah impian setiap wanita dan berbelanja sedikit untuknya adalah matlamat setiap orang.

Ada lima produk yang boleh anda hasilkan sendiri di rumah, tanpa perlu risau ianya halal atau mempunyai bahan kimia yang membahayakan:

1. Pencuci Muka
Gunakan sabun yang lembut pada kulit kegemaran anda, gosokkan dengan air pada tangan anda hingga berbuih, kemudian campurkan 1/2 sudu teh gula dan gosokkan muka anda dengan lembut dan basuh bersih. Kesannya hampir sama dengan pencuci muka yang biasa anda gunakan.

2. Pelembab bibir atau gincu
Cairkan vaselin (boleh didapati di kedai farmasi) dalam mikrowave selama 30 saat (atau panaskan dalam mangguk yang direndam - jangan sampai tenggelam - di dalam mangkuk lebih besar berisi air panas) sehingga menjadi cecair. Hati-hati kerana ianya sangat panas! Kemudian campurkan rasa kegemaran anda sama ada vanila, badam atau ekstrak coklat, atau serbuk jeli berperisa. Hasilnya pelembab bibir ciptaan anda dengan rasa kegemaran anda sendiri.

3. Pelembab minyak panas untuk rambut anda (Hot oil hair treatment)
Masukkan dalam bekas 2 sudu besar minyak zaitun dan setengah cawan air mendidih. Goncangkan dan biarkan sebentar sehingga boleh disapukan pada rambut anda. Tutup rambut anda dengan plastik atau shower cap selama 10 minit, kemudian syampu dan bilas seperti biasa.

4. Pewarna rambut semulajadi
Lumurkan seluruh atau bahagian yang anda ingin perangkan dengan jus limau susu (lemon) - atau anda boleh cuba dengan limau nipis atau limau purut jika sama hasilnya, dan kemudian duduk berjemur dalam cahaya matahari sehingga anda lihat kesannya pada rambut yang anda inginkan. Pastikan anda menggunakan pelindung matahari untuk kulit anda!

5. Pelbagai guna baking soda

Antara kelebihannya:

- Pembasuh muka atau campurkan dalam sabun mandian untuk kulit yang lebih licin

- Campurkan dengan syampu untuk mencegah kelemumur

- Gunakan semasa menggosok kaki anda atau untuk menghilangkan bau kasut anda

- Campurkan dalan ubat gigi untuk memutihkan gigi

Sumber: Chelle, Associated Content